Tuesday, November 5, 2013

Ibu tunggal mohon bantuan

Kajang: “Saya sentiasa berdoa supaya Allah SWT keluarkan saya daripada kesusahan dan berikan yang terbaik untuk anak-anak,” kata ibu tunggal, Zuraidah Saizlin, 35, yang terpaksa menyerahkan dua anaknya kepada orang lain pada Jun lalu kerana tidak mampu menyara mereka.
Zuraidah bersyukur kerana terdapat pihak yang prihatin dengan nasib dirinya yang tidak mampu untuk melakukan dua pekerjaan berikutan perlu menjaga ibu bapa yang sakit dan anak yang masih bersekolah.

“Saya ingat tiada siapa yang akan tampil untuk menolong kami, tetapi sangkaan saya meleset, kini anak saya boleh kembali ke sekolah dengan pelbagai bantuan yang diberikan.

“Alhamdulillah doa saya termakbul untuk melihat anak kembali hidup selesa seperti ketika suami masih hidup,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.

Keluarga ibu tunggal itu semalam menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menyumbangkan bantuan makanan dan keperluan harian lain.


Ismail berkata, masyarakat perlu membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Foto
ISMAIL melawat keluarga Zuraidah ketika menyampaikan sumbangan, semalam.
“Apa yang penting sekarang ialah pendidikan dan kanak-kanak yang masih bersekolah perlu meneruskan persekolahan supaya tidak tercicir,” katanya.

Ismail turut membantu bagi membolehkan dua anak Zuraidah bersekolah semula.

Selain itu, Ismail turut memaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim mengenai penderitaan hidup wanita berkenaan. Harian Metro kelmarin menyiarkan kisah Zuraidah yang buntu untuk menyara keluarga selepas suami, Hasni Hashim, 40, meninggal dunia dan dia terpaksa menjelaskan semua hutang arwah suaminya.

Lebih malang apabila wanita yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Kajang dengan pendapatan RM1,300 itu perlu menampung kos rawatan ibunya yang mempunyai gout dan bapanya yang mengalami penyakit batu karang.


Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berbuat demikian menerusi akaun MAYBANK Zuraidah Saizli (nombor akaun: 1898070 19768) atau menghubunginya di talian 010-2527153.

sumber myMtero

No comments:

Post a Comment